Pengenalan
Selamat datang ke modul dalam talian mengenai Penderaan dan Pengabaian Warga Emas untuk Profesional Kesihatan di Jabatan Kecemasan. Modul ini direka bentuk untuk melengkapkan anda dengan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan yang diperlukan untuk mengenal pasti, menilai dan menguruskan kes penderaan dan pengabaian warga emas di Jabatan Kecemasan dengan berkesan.
Â
Sebagai professional kesihatan barisan hadapan, warga Jabatan Kecemasan selalunya menjadi individu pertama ditemui bagi warga emas yang mengalami penderaan. Penderaan warga emas adalah isu yang kompleks dan kurang disedari yang boleh terzahir dalam pelbagai bentuk. Ini termasuklah penderaan fizikal, emosi, seksual, kewangan, serta pengabaian. Kesan terhadap warga emas adalah teruk, bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal dan mental mangsa tetapi juga maruah dan kualiti hidup mereka. Modul ini merupakan adaptasi dan pengubahsuaian daripada sumber asal yang dibangunkan oleh pasukan Prevent Elder Abuse and NegleCt InitiativE (PEACE), khususnya:
·        Identifying and Managing Elderly Abuse and Neglect: A Guide for Primary Care Doctors (ISBN: 978-967-99923-6-6)
·        Manual Fasilitator: Pengendalian Kes Penderaan dan Pengabaian Warga Emas di Peringkat Primer (ISBN: 978-967-99923-7-3)
Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan PEACE atas sumbangan bernilai mereka dalam membangunkan panduan asas ini. Modul ini telah disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus profesional kesihatan di Jabatan Kecemasan, termasuk penyesuaian dari segi senario klinikal, aliran kerja, dan pendekatan pelbagai disiplin dalam konteks rawatan akut.
Memandangkan persekitaran Jabatan Kecemasan yang sibuk dan sesak, proses mengenalpasti tanda-tanda penderaan dan pengabaian boleh menjadi mencabar. Modul ini bertujuan untuk merapatkan jurang itu dengan menyediakan panduan praktikal tentang cara mengesan tanda amaran, melakukan penilaian, dan melaksanakan intervensi yang sesuai, sambil mempertimbangkan tanggungjawab undang-undang dan etika profesional penjagaan kesihatan.
Pada akhir modul ini, anda akan mampu:
1.     Menentukan pelbagai jenis penderaan dan pengabaian warga emas.
2.     Mengenalpasti faktor risiko, penunjuk dan gejala yang berkaitan dengan penderaan dan pengabaian.
3.     Mengetahui alat saringan dan penilaian yang sesuai.
4.     Memahami tuntutan dokumentasi dan rujukan untuk sokongan dari pelbagai disiplin.
Peranan anda adalah penting dalam melindungi kesejahteraan warga emas. Melalui modul ini, kami berharap dapat meningkatkan keupayaan anda untuk bertindak balas dengan cekap dan akhirnya menyumbang kepada kualiti kehidupan yang lebih baik untuk populasi berisiko ini.
Â
Mari kita mulakan.